Sunday, May 11, 2008

Perkongsian Bersama

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semoga sekalian yang menjengah sihat dan senantiasa diberkati Allah. Alhamdulillah syukur dipanjatkan pada rabbul `izzati yang masih memberi nikmat kehidupan buat diri juga sekalian yang masih diberinya kesempatan merasainya lagi.

Alhamdulillah, usai sudah melalui Program Pemantapan Muslimah pada Sabtu lalu. Segalanya banyak mengajar diri selain memberi pendedahan yang tak difikiri sekian lama dalam melaksanakan tuntutan perjuangan buat diri yang seorang muslimah.

Pengisian yang diberi oleh YB Ustazah Zailah juga Ustazah Wan Hasrina, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, banyak manfaatnya buat diri juga sekalian yang menghadiri.

Pendedahan yang diutarakan oleh YB Ustazah Zailah mengenai Wanita Alaf 21- Apakah Peranan Wanita? – Cabaran Masa Kini. Segala intipati yang didedahkan sedikit sebanyak dapat diterapkan oleh diri juga jemaah yang hadir teruntuk kaum Muslimat.

Wanita dan kehidupan tak dapat dipisahkan. Kerana tanpa wanita keupayaan memimpin seorang pejuang yang bernama muslimin, tentu ada tempangnya. Sebagaimana kita dapat lihat dalam sejarah, wanita menjadi sayap kiri pada suami juga pejuang yang sejati. Bukan kata diri saya sahaja kerana apa yang saya kemukakan berteraskan sejarah permulaan kehidupan seorang lelaki iaitu Nabi Adam yang memerlukan pendampingnya seorang Wanita bernama Hawa. Kembalilah kepada sejarah awal kejadian. Afala ta`kilun…

Seorang wanita yang berjuang sewajar dan seharusnya bermula pada diri juga keluarga dan rumahtangga. Betapa banyak yang wanita yang dah sebaris dengan pemimpin terkemuka, namun rumahtangganya entah ke mana. Inilah perjuangan sebagai muslimah yang sejati, jangan sekali-kali utamakan yang lain selain yang tiga yang saya sebutkan tadi. Biar segalanya bermula dari lingkungan sendiri. Bersamalah kita sedari akan hakikat ini.

Begitulah kata seorang YB yang mendedahkan sesuatu yang ramai pemimpin wanita yang tak sedari. Lebihnya hanya di luar tapi di dalam tidak ada apa-apa. Bayangkan betapa ruginya mereka ini… moga sama-sama kita yang hadir memberi peringatan kepada yang tidak hadir. Maksud peringatan pada saya di sini, sampaikan apa yang kita dapat pada hari itu kepada yang lain, yang tidak hadir. Insya`allah moga ada manfaatnya buat bersama.

Banyak cabaran buat wanita di hari ini. Apakah peranan kita sebagai penggerak NISA` juga Muslimat? Saya menyeru pada sekalian sahabat-sahabat marilah kita dekati mereka yang telah jauh dari landasan tuntutan Agama. Segalanya kita lakukan dengan kebersamaan yang ada agar diri kita merasa nikmat dalam jemaah ini. Insya`allah

Perjuangan menegakkan Daulah Islamiyyah : Apakah Peranan Muslimat dan Apakah Peranan NISA`. Ini adalah topik yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Amat menyentakkan saya dengan ayat ini

Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Beginilah ayat ALLAH dal surah At Taubah : 71. maka dengan itu kita sewajarnya menggembeling tenaga bagi merealisasikan kewajipan menegakkan Daulah Islamiyyah ini. Tidak kira pada lelaki juga perempuan.

Selain itu, persiapan awal pada diri untuk menjalankan kawajipan ini adalah dengan berteraskan penjanaan peribadi iaitu dalam konteks ilmu, keperibadian yang baik, kemahiran berkomunikasi. Dan selainnya penjanaan organisasi yang merangkumi aspek kemantapan dalam musyawwarah, tindakan-tindakan yang berkesan, penilaian dan pembaikan yang sewajarnya, membentuk suasana. Segala ini perlulah disatukan bagi menjayakan agenda untuk perjuangan Muslimat juga NISA`.

Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.Sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah An-Nisa` ayat 124 ini, amal soleh yang dilakukan adalah untuk diri sendiri kerana segala yang dilaksanakan adalah kerana ALLAH, insya`allah dengan ilmu yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada mereka yang tidak hadir. Insya`allah bermanfaat buat kita juga semua.

Akhir kata, moga segala ilmu yang kita dapat ini, kita amalkan secara beransur. Moga di lain kesempatan kita mampu melaksanakan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Ucapan tahniah saya buat pelaksana program yang berjaya mengadakan program yang seumpama ini. Harap pada akan dating kita dapat berkumpul dalam jemaah yang lebih ramai dengan pengisian yang lebih mantap lagi, insya`allah. Salam ukhwah salam perjuangan buat Muslimat juga sahabat-sahabat NISA`. Bersama kita perjuangkan sedari kini, untuk mendapatkan hasil yang subur di masa hadapan… PEWARIS GENERASI KINI, PENERAJU KEPIMPINAN ISLAMI


Takbir!!
ALLAHU AKBAR.
ALLAHU AKBAR.
ALLAHU AKBAR.

No comments: